28 May 2011

Cerpen Simfoni Cinta.


Satu irama indah mengisi ruang rumah. Terpantul-pantul musik yang terhasil daripada piano itu, dan kesunyian rumah seakan-akan wujud penonton-penonton yang jatuh ke ruang khusyuk. Dia meneruskan tarian jemarinya. Sambil matanya terpejam seperti terdodoi dengan musik yang dihasilkannya.

“Sedapnya. Lagu apa tu?”

Satu suara membelah alunan musik, membuatkan tarian jemarinya berhenti. Mata yang pejam terbuka. Seorang perempuan, wajah cerah, rambut ikat ekor kuda, bercermin mata, lengan panjang dan berseluar riadhah labuh, sedang berdiri di hadapannya dengan senyuman indah.

Bibirnya menggaris senyuman.

“Breathless, by Shayne Ward. Kenal?”

Perempuan itu tersenyum lebar. Menggeleng. Kemudian perlahan-lahan berjalan merapatinya. Old habits die hard ha?”

Dia ketawa kecil. Segera tangannya menarik perempuan tersebut, agar duduk di sisinya. “Saya dah tanya sheikh-sheikh dah. Sebenarnya pengharaman permainan bertali ini bukanlah qat’ie. Jadi, selagi mana saya tak main lagu-lagu yang tak syara’, dan tak melalaikan ibadah saya, selagi itu saya masih boleh petik gitar dan main piano.”

“Saya tahu.” Perempuan itu menatap wajahnya. Dia kekal dengan senyuman. “Tapi lagu itu syara’ ke?”

“Syara’ kalau saya main untuk isteri saya.” Dia tertawa. Kemudian jari jemarinya menari. Alunan musik keluar membuai hati. Dan dia mula menyanyikan lagu tersebut.

You leave me breathless
You’re everything good in my life
You leave me breathless
I still can’t believe that you’re mine
You just walked out of one of my dreams
So beautiful you’re leaving me
Breathless


And if our love was a story book
We would meet on the very first page
The last chapter would be about
How I’m thankful for the life we’ve made


You leave me breathless
You’re everything good in my life
You leave me breathless
I still can’t believe that you’re mine
You just walked out of one of my dreams
So beautiful you’re leaving me
Breathless


You must have been sent from heaven to earth to change me
You’re like an angel
The thing that I feel is stronger than love believe me
You’re something special
I only hope that I’ll one day deserve what you’ve given me
But all I can do is try
Every day of my life


Dan jarinya berhenti. Dia kemudian memandang perempuan di sisinya. Perempuan itu seperti tergamam sendiri.

“Awak, ini dah terlebih gula ni.”

“Mana terlebih. Memang itulah perasaan saya pada awak pun.”

Perempuan itu tertunduk malu. Dapat dilihat pipi perempuan itu memerah. “Awak ni, kalau romantik tu mengalahkan tujuh petala langit.”

Dia tertawa. Tergeletek dengan ulah perempuan itu.

“Eh Awak, awak nak tahu satu benda tak?”

“Apa dia? Tiba-tiba nak ajak saya tahu satu benda ni. Macam ada apa-apa je?” Perempuan itu mengangkat keningnya dua kali. Gaya nakal.

“Saya gembira.”

“La, itu sahaja?”

Dia mengangguk dengan senyuman.

“Sekarang saya rasa jiwa saya betul-betul lapang. Tenang. Puas hati. Dan saya sentiasa rasa bertenaga, kuat, dan optimistik.”

“Alhamdulillah. Lapang hati saya dengar.” Perempuan itu segera memaut sebelah tangannya, dan melentokkan kepala pada bahunya.

“Saya pun ada benda sebenarnya nak ajak awak untuk tahu.”

“Iya? Apa dia?”

“Saya mengandung.”

Matanya membesar. Segera tubuhnya mengiring. Dua tangannya bergalih dari papan piano kepada kedua-dua belah pipi perempuan itu. Mata mereka bertemu.

“Betul?”

Wajah perempuan itu merah kembali. Mengangguk perlahan.

Matanya bergenang. Sebentar kemudian, air matanya meleleh. Segera dipeluknya erat perempuan di hadapannya itu.

“Allahuakbar.”

“Kita kena usaha lagi kuat untuk pertingkatkan diri, awak.”

Dia mengangguk pada bahu perempuan itu.

“Cik Afeefah Husna, insyaAllah saya usaha keras.”

“Encik Amir Faheem, kita sama-sama usaha keras.”

Amir Faheem tertawa. “Ya, sama-sama. InsyaAllah.”

******


Hidupnya berliku. Asalnya bukanlah seorang yang berhubungan dengan Allah dalam keadaan yang baik. Dia sekadar memahami bahawa Islam adalah adat. Fikrah ayah dan ibunya tidak diwarisi semasa tumbesarannya. Bahkan dia awalnya membenci ayahnya yang memperjuangkan Islam sebagai cara hidup.

Namun Allah masih sayang kepadanya. Walaupun selepas banyak pesanan tiba menjengah dan dia tidak menghiraukannya, Allah masih lagi menghantar orang lain untuk mengingatkannya.

Akhirnya dia memilih untuk menerima.

Dan hari ini terasa sungguh keindahan hidup di dalam suasana Islam yang sebenar ini.

“Ini apa tersenyum seorang diri? Teringat isteri?” Tubuhnya terdorong sebentar ke tepi. Disiku sahabat dari sisi. Tersedar dia dari lamunan.

Irfan Hakimi sedang memandangnya dengan pandangan yang amat mesra. Dia memandang sekeliling. Rasyid Zakwan, dan Saifullah turut memandangnya sedemikian.

Akhirnya dia tertawa. “Teringat nikmat yang Allah SWT beri.”

“Apa yang nikmat Allah SWT beri sampai Encik Afam kita menggelamun? Kami sembang isu hangat, dia menerawang seorang diri.” Saifullah menyentuh bahunya.

Dia menunduk ditemani senyuman yang tidak lekang. “Kamu semua pun tahu macam mana aku sebelum bersama dengan kamu semua.”

Ketiga-tiga sahabatnya itu mengangguk. Mereka baru selesai usrah sebenarnya. Rutin mingguan, yang dilakukan untuk menguatkan fikrah dan memastikan bahawa diri terus tertingkat sebagai hamba di jalan Allah SWT.

“Selepas bersama kamu semua, kenal lebih dalam Islam ini. Bersama-sama kita teliti fikrah Islam, perjuangan Rasulullah SAW, dan kesyumulan Islam itu sendiri, aku rasa macam Allah SWT punya cinta itu langsung tak ada sempadan. Selama ini, mungkin aku sekadar tahu Allah Maha Penyayang. Namun, sekarang ini aku rasa. Rasa. Faham kan?” Dia mengangkat kening sebelah sambil memandang sahabat-sahabatnya.

Semua sahabatnya itu tersenyum. Jelas riak memahami. Mungkin semua merasai apa yang dia rasai.

“Hati ini tenang.” Dia menyempurnakan bicaranya.

Kini tangan Rasyid Zakwan pula menyentuh tubuhnya. “Alhamdulillah sahabat. Alhamdulillah. Memang begitulah orang-orang yang beriman kepada Allah SWT, merasai kasih sayangNya, rasakan.”

“Manusia ini, hatinya kosong dan gelap. Tak akan ada apa yang mampu mengisinya, dan meneranginya, melainkan dengan mendekati Allah SWT dalam keadaan yang kejap.” Saifullah memberikan kata-kata hikmah. Mendekati Allah SWT dalam keadaan yang kejap, dalam erti kata lain, utuh. Istiqomah, yakni berterusan. Penuh keyakinan.

Afam mengangguk. Memang. Bila Allah membuka hatinya, dia mula dapat mengucup erti kebahagiaan. Dia ada seorang isteri yang solehah, yang tegar bersamanya di atas perjalanannya untuk menjadi hamba Allah SWT yang baik. Dia ada sahabat-sahabat yang juga sentiasa mengingatkannya kepada Allah SWT. Dia juga ada Pak Arbi dan Mr Umayer, yang banyak memberikan hikmah dan tunjuk ajar dalam menjadi seorang manusia yang menyumbang untuk Islam.

Dia terasa seperti dilimpahi cinta.

“Ni, aku dengar kau ada berita gembira. Simpan tak bagitahu ya?” Rasyid Zakwan menggerakkan jari telunjuk, dengan nada seakan-akan mengetahui satu rahsia.

Dia terus menepuk tangan. Teringat. “Allahuakbar, ha’ah, baru teringat. Ada berita gembira.”

“Tahniah.” Saifullah, Rasyid Zakwan dan Irfan Hakimi memotong.

“Eh?”

“Isteri kami dah bagitahu. Husna dah beritahu pada isteri kami semalam.” Irfan Hakimi memautkan lengannya pada belakang leher Afam.

Afam tersenyum senang. Husna dan isteri sahabat-sahabatnya memang berada di dalam usrah yang sama.

“Tak sabar kami nak dapat anak saudara ni.” Saifullah menunjukkan kesyukurannya.

“Bakal mujahid untuk Islam itu, insyaAllah.” Irfan Hakimi mendoakan.

“Semoga mampu menjadi Ayah yang baik, Afam. Kalau ada apa-apa masalah, boleh bertapa dengan kami. Menuntut ilmu kebapaan.” Rasyid Zakwan berseloroh.

Dia tertawa. Senang.

Nikmat-nikmat Allah itu tidak semestinya berada dalam bentuk wang. Tetapi juga dalam bentuk sahabat-sahabat yang baik, ketenangan jiwa, kelapangan hati, peringatan yang mengingatkan kembali kepadaNya, dan bermacam-macam lagi. Dan kini dia benar-benar merasai.

Teringat dia akan ayat Allah SWT, antara ayat kegemaran Husna,
“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” Surah Ar-Rahman. Ayat tersebut diulang-ulang oleh Allah SWT banyak kali di dalam surah itu.

Memang dia sendiri, tak dapat mendustakan nikmat-nikmat Allah SWT yang mengelilinginya kini.

*******

“Bagaimana projek kita sekarang?” Dia memerhatikan skrin digital yang sedang terapung-apung di atas mejanya kini.

Mr Umayer, pengurus eksekutif syarikat miliknya, Amir&Co berdehem. “Tuan Amir Faheem, projek kita untuk menjadikan Elemen Baru sebagai sumber tenaga elektrik negara telah dipersetujui oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Malah, beliau sangat teruja kerana sekiranya projek ini berjaya dilaksanakan, kita akan dapat menjimatkan belanja negara. Ini juga mengurangkan beban rakyat dengan bil elektrik akan menjadi lebih rendah selepas ini.”

Mr Umayer menggerakkan tangannya, menyebabkan skrin digital yang terapung itu berputar dan berubah menunjukkan imej tiga dimensi reaktor Elemen Baru, dan bagaimana Elemen Baru berfungsi sebagai penjana kuasa.

“Semestinya kita akan bermula dengan Kotaraya Angsana terlebih dahulu, dan kemudian kawasan-kawasan yang terhampir. Sedikit demi sedikit.” Mr Umayer menyempurnakan.

“Alhamdulillah.” Dia tersenyum senang. “Bagaimana pula projek Angkasawan kita?”

“Ah, di situ ada masalah.” Mata Mr Umayer bersinar.

Afam tersenyum. Ya, dia sudah agak. Kalau tidak, pastinya projek ini yang didahulukan oleh Mr Umayer untuk diberitahu kepadanya.

“Amerika dan Russia tak setuju?”

Mr Umayer mengangguk. “Mereka menuduh bahawa Malaysia mencuba untuk menawan ruang angkasa.”

“Saya ada baca Surat Khabar, dan beberapa pandangan di internet. Saya perasan kenegatifan mereka itu.” Dia menyatukan kedua-dua telapak tangannya. Siku di atas meja. Menjadi tongkat kepada dagunya.

“Biasalah Tuan Amir Faheem, tidak senang dengan pencapaian kita. Mereka semakin takut dengan kekuatan yang kita ada. Mereka selama ini hanya mampu mereka cerita palsu berkenaan menjejak bulan. Kita pula memang pasti boleh merealisasikannya, dengan kekuatan Hero yang ada pada kita. Dan kalau kita mampu buat demikian, kita juga akan mampu untuk menghasilkan pangkalan angkasa kita sendiri, dan sistem-sistem pertahan negara kita pasti akan lebih tertingkat apabila kita berjaya menawan angkasa.”

“Jadi?”

“Tengku Amiri masih berusaha meyakinkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan projek ini. Sebab Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan mampu mempengaruhi Parlimen apabila dinaikkan isu ini nanti.”

“Bagus-bagus.”

“Tetapi kita perlu bersedia. Kalau hendak meneruskan projek ini, kena berani berhadapan dengan konsikuensinya.”

“Perang?”

“Mungkin.”

“Kita akan menang insyaAllah. Setakat ini, tiada lagi yang mampu meniru Elemen Baru, dan langsung tiada yang mampu menciplak teknologi Hero.” Afam berbicara yakin.

Mr Umayer tersenyum senang. “Tambahan, kita ada Allah SWT, Tuan Amir Faheem.”
Senyumannya melebar. “Ya, kita ada Allah SWT.”

Dia menyandarkan kepalanya ke kerusi. Mr Umayer mohon mengundur diri. Dia merasa senang.

Hatta dalam pekerjaan pun, Islam yang memandu dan mengiringi. Indah hidup ini bersama Islam. Terjaga.

Kini dia fokus meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh arwah Ayahnya. Syarikat Amir&Co terus mengkaji dengan lebih mendalam akan Elemen Baru yang ditemui oleh Pak Arbi dan Mr Umayer semasa zaman silam mereka. Bahkan, dengan kerjasama Skuad Elit Gerak Khas(SEG) yang kini memegang teknologi sut tempur tercanggih di dunia, Hero, mereka mampu melakukan pelbagai perkara yang tidak terjangka.

Projek Perubatan menggunakan Elemen Baru telah berjaya. Dengan melakukan radiasi menggunakan Elemen Baru, kini kanser berjaya diubati 100%. Tidak cukup dengan itu, radiasi menggunakan Elemen Baru juga tidak menyebabkan penggunanya mengalami keguguran rambut, kematian sel-sel baik dan sebagainya. Ini menyebabkan ramai orang dari negara luar datang ke Malaysia untuk merawat kanser mereka, sekaligus meningkatkan ekonomi negara.

Projek Bandaraya Islamik Pintar turut mendapat sambutan. Kotaraya Angsana menjadi model. Kini pembinaan sedang giat dijalankan di Johor, Kelantan, dan Kedah. Manakala negeri-negeri lain turut bersedia untuk mengikut jejak langkah.

Teknologi-teknologi baru, seperti komputer tiga dimensi, buku elektronik, telefon bimbit pintar dan sebagainya mendapat sambutan ramai hingga ke peringkat antarabangsa. Bukan itu sahaja, bahkan Syarikat Amir&Co mendapat kontrak menghasilkan senjata perang untuk negara, rentetan kepakaran Mr Umayer dalam mendalami teknologi Hero. Yang mana sebenarnya, tiada siapa yang mengetahui bahawa Mr Umayerlah pencipta Hero yang sebenar.

Semua kerjanya itu fokusnya satu.

Membawa manusia pulang kepada Allah SWT.

Selain sibuk membina teknologi-teknologi baru bagi menghasilkan satu negara Islam yang kuat dan hebat, disegani di peringkat antarabangsa, Syarikat Amir&Co turut bekerjasama dengan Syarikat Teguh milik Datuk Tengku Muhammad yang fokusnya kepada pembinaan peribadi masyarakat. Rumah anak-anak yatim, kompleks para muallaf, sekolah-sekolah rendah, sekolah-sekolah menengah, dan terkini adalah universiti berteknologi tinggi. Semua projek Tengku Muhammad itu diberikan bantuan. Datuk Johari yang menggepalai Syarikat Teras pula merupakan pembina kepada bangunan-bangunan, dan fokusnya adalah memberikan bangunan-bangunan corak islamik yang menarik dan menawan.

Syarikat Amir&Co turut memberikan sokongan penuh terhadap NGO INSANI yang dikepalai oleh Professor Abdullah Shamsudin.

Semua itu Afam uruskan dengan penuh strategis.

Dan kini mereka seakan-akan merupakan kepala pemandu dalam mengajak masyarakat ke dalam Islam yang sebenar.

Menjadi Hero, tanpa sut.

Afam tersenyum sendirian.

Menyebut Hero, dia teringat akan malam ini dia perlu menyarung sut tersebut.

Hendak bertemu sahabat.

******
“Hati-hati.” Suara Husna lembut menyapa.

Dia tersenyum. Perlahan diusap pipi isterinya itu. “Jangan risau. Allah ada. Sut Hero ini tawakkalnya.” Kemudian dia mengenyitkan matanya.

Husna mengucup pipinya. Dia membalas dengan mengucup dahi Husna. Ditumpahkan segala kasih sayang kepada isterinya itu. “Pak Arbi, tengok-tengokkan Husna.”

Pak Arbi yang sedang duduk di hadapan skrin, menoleh ke arahnya dan mengangguk. “Jangan risau. Malam ini kami bermalam di sini.” Makcik Amirah yang berada di meja bulat mencelah.

Afam senang hati. Kini Pak Arbi sudah tidak tinggal bersama mereka. Lima bulan yang lalu, pembantu rumahnya yang setia itu telah berkahwin dengan makciknya, Amirah Maisarah. Secara tak langsung, Pak Arbi kini menjadi Pakciknya. Dan mereka kini menetap di rumah Makcik Amirah. Tinggal sekali sekala, mereka akan bertandang ke mari. Lebih-lebih lagi sekiranya Afam perlu menyarung semula sut Hero untuk berurusan.

Hadapan wajahnya mula terkatup dengan helmet Hero. Satu terowong rahsia mula terbuka.

Dia memandang wajah Husna. “Awak, saya pergi dulu.” Suaranya mula kedengaran garau, suara sut Hero.

Dan butnya mengeluarkan api. Memecut laju melalui terowong, kemudian keluar jauh daripada rumah agam miliknya. Terus dia menghala ke angkasa, dan menerobos udara. Hala tujunya adalah Johor. Walaupun dengan kereta perjalanan dari Kotaraya Angsana ke Johor memakan masa 5 jam, menggunakan sut Hero, perjalanan tersebut hanya akan memakan masa setengah jam sahaja.

“Assalamu’alaikum. Perhatian kepada semua Hero yang bertugas, aku muncul di udara pada malam ini.” Afam memberikan isyarat suara ke alat telekomunikasi Hero. Menghantar pesanan agar semua Hero yang bertugas pada malam ini mengetahui kehadirannya. Jika tidak, dia akan dianggap sebagai satu entiti asing dan berkemungkinan diserang.

“Alhamdulillah. Tak sabar untuk bertemu dengan kau.” Satu suara kedengaran. Skrin menunjukkan suara itu datang daripada Hero-001. Hero milik Tengku Amiri.

Afam tersengih. “Tunggu aku.”

Dan dalam masa sebentar sahaja, dia sudah memasuki ruang udara Johor. Tidak lama kemudian, wajahnya dijamu dengan panorama Danga Bay, berhadapan Selat Tebrau. Sempat skrinnya mengesan Singapura. Kini dia mula mengesan posisi Hero-001. Kelihatan sedang bersila di atas salah satu bangunan yang terdapat di Danga Bay.

Perlahan-lahan Afam mendarat di sisinya.

Tengku Amiri bangun meraikannya. Mereka berpeluk mesra.

“Bagaimana Johor?” Afam bertanya.

“Sedang mula dicorak.” Tengku Amiri menjawab. Ketua yang menggepalai SEG itu sehingga kini masih tidak mengetahui identiti Afam yang sebenar. Bahkan, tidak berada dalam pengetahuannya bahawa Mr Umayer adalah pencipta sebenar kepada sut Hero. Afam tidak mahu hidupnya nanti dikompromi dengan pelbagai masalah sekiranya identitinya didedahkan.

“Bagus.” Afam menyilang tangan pada dadanya. Mereka sama-sama memandang Selat Tebrau. Menerobos ke Singapura.

Kini setiap negeri di Malaysia mempunyai sekitar 10 Hero. Bagi Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan, masing-masing mempunyai lima Hero. Manakala Sabah mempunyai 30 Hero, dan Sarawak 50 Hero. Gale yang kini dikenali sebagai Badrul Alam, telah bekerja dengan Syarikat Amir&Co, dengan fokus kerjanya adalah mereka sut Hero dan mempertingkatkan kualiti teknologinya dari masa ke semasa. Dan identiti Badrul Alam yang sebenar pun tidak diketahui oleh sesiapa, kecuali Afam, Mr Umayer dan Pak Arbi.


Malaysia kini hampir adalah negara yang mula mencapai sifar jenayah. Kalau ada jenayah pun, diuruskan dengan amat cekap dan pantas oleh Hero-Hero yang mengawal. Kini yang merisaukan hanyalah serangan daripada luar.

Lebih-lebih lagi apabila Malaysia semakin meningkat naik di persada antarabangsa dengan teknologinya yang tinggi, ada negara-negara besar yang hasad dan ingin menghalang.

“Keamanan ini akan kekalkah?” Afam melontarkan persoalan, mengisi ruang kesunyian antara dia dan Tengku Amiri.

“InsyaAllah.” Tengku Amiri menjawab tenang.

“Kalau ada dugaan yang datang, kita akan berhadapan dengannya. Kita telah berusaha meningkatkan kualiti kita. Itu adalah usaha dan itu adalah tawakkal kita. Maka sekiranya Allah takdirkan kita berhadapan dengan dugaan, kita akan menghadapinya dengan yakin terhadap pergantungan kita kepada Allah. Allah jugalah sebaik-baik pemberi natijah.”

Afam di dalam sut tersenyum. “Aku tidak silap memberikan sut ini kepada kalian.”

Tengku Amiri tertawa. “Berdoalah, moga-moga kita mampu meneruskan gerak kerja tarbiyah islamiyyah, yang memproses ahli-ahli SEG ini agar tidak menjadi korup. Kadangkala, kita risau juga sekiranya hati dan jiwa kita tertipu dengan permainan licik syaitan.”

Afam mengangguk-angguk. Di dalam hatinya, dia bahagia. Senang mendengar bicara yang sedemikian rupa.

“Jadi, kau dah pilih orang untuk menyertai projek angkasawan bersama Syarikat Amir&Co itu?” Afam bertanya lagi.

“InsyaAllah. Sudah. Kita akan membelah sejarah tidak lama lagi. Sudah tiba masanya dunia menyaksikan kebangkitan Islam semula.”

“Projek itu akan disertai dengan pembinaan pangkalan kita di luar atmosfera bumi bukan?”

“Ya. Kami sekarang sedang sibuk melakukan latihan bagi orang-orang yang terpilih itu. Dan kau tahu apa yang kami di SEG dapat daripada perisikan kami?”

“Apa dia?”

“Amerika kini sedang sibuk untuk memulakan propaganda yang lebih dasyat. Mereka mahu kata bahawa Malaysia hendak menerajui teroris alam baru. Pangkalan Angkasa adalah untuk memudahkan teroris menyerang tempat-tempat awam.”

Pecah ketawa Afam ketika itu juga. Dan kemudian, Tengku Amiri turut tertawa sama.

“Menarik. Bila agaknya mereka hendak memulakan propaganda tersebut?”

“Sebulan dua lagi.”

“Tindakan SEG?”

“Buat masa ini, kita biar dahulu. Kalau propaganda itu dilaksanakan nanti, baru kita bereaksi. Kita tidak boleh biarkan Amerika dan konco-konconya tahu yang kita mempunyai perisik di dalam kalangan mereka.”

“Menarik. Lagipun, tuduhan dia agak riddiculous.”

“Tetapi mereka masih kuasa dunia. Ada kemungkinan mereka akan melancarkan perang terhadap kita.”

“Tidak perlu risau. Malaysia kini berdiri teguh dengan ekonominya sendiri. Bahkan, kita antara orang penting dalam ekonomi dunia. Kalau Malaysia terganggu, ekonomi dunia turut akan menerima padahnya. Jadi, Amerika akan fikir sepuluh kali sebelum berbuat apa-apa. Dan, dengan adanya sut Hero bersama Elemen Baru di tangan kita, mereka akan fikir lagi seratus kali sebelum membuat keputusan menyerang kita.” Afam tersenyum sendiri. Kemudian menggeleng. Rasa kelakar masih ada apabila memikirkan tuduhan Amerika itu.

“Em. Kita sebenarnya tak berapa risau dengan perang berhadapan. Cuma risau sekiranya mereka dapat mencari lompong-lompong lain untuk menjatuhkan kita dari dalam.” Tengku Amiri menyuarakan rasa hatinya.

“Oh. Orang-orang yang korup dalam Kerajaan?”
Tengku Amiri mengangguk.

“Jangan risau Amiri. Dengan proses dakwah dan tarbiyah, kefahaman Islam yang benar, pembinaan keimanan yang utuh, insyaAllah lompong-lompong itu akan berjaya kita tutup. Tambahan, Perdana Menteri kita sekarang menyokong penuh proses ini. Aku dengar, Insani sekarang giat mendapat projek untuk membina peribadi-peribadi pemimpin di dalam pemerintahan negara.”

“Wah, kau pun mengikuti perkembangan Insani?”

Afam tertawa. Tengku Amiri tidak mengetahui bahawa dia adalah Amir Faheem. Sekarang ini, Amir Faheem adalah antara penggerak utama di dalam NGO Insani pimpinan Abdullah Shamsudin itu. Semestinya dia amat tahu berkenaan pergerakan Insani.

“Aku kan Hero 000. Teknologi aku jauh lebih hebat daripada kalian semua. Aku mampu memintas semua telekomunikasi yang anda. Maka maklumat itu di hujung telinga sahaja.” Afam berseloroh.

Tengku Amiri tertawa.

“Senang dengan kamu Hero. Aku amat bersyukur Allah hadiahkan kamu kepada dunia ini.” Tangan Tengku Amiri menekap dada Hero milik Afam.

Afam berhenti dari tawa. Jiwanya tersentuh. Sedikit tersentak apabila Tengku Amiri berbicara begitu. Kembang. Bukan riyak, tetapi bersyukur. Perlahan-lahan tangan Tengku Amiri itu disentuh dengan kedua-dua belah tangannya.

Afam menggeleng.

“Tidak Tengku Amiri. Kalau yang patut bersyukur dengan kehadiran manusia itu, itu adalah aku. Aku patut bersyukur dengan kehadiran orang-orang macam engkau, yang membawa aku kembali ke jalan yang benar. Kau, dan orang-orang macam kau, seperti Ikhwan Rosli itu, adalah tanda cinta Allah kepadaku.”

Tengku Amiri turut terdiam akhirnya.

“Ya. Cinta Allah itu luas. Kita tidak tahu dalam bentuk apa yang Dia hendak sampaikan. Pada aku, kau adalah tanda cintaNya kepada kami. Pada engkau, mungkin aku dan sahabat-sahabatku adalah tanda cinta Allah kepada dirimu itu.”

Dan bicara Tengku Amiri itu membuatkan mereka berdua berdiam muhasabah.

Di dalam sutnya, Afam melelehkan air mata.

Allah cinta kepadanya. Terasa sungguh dia akan hal itu kebelakangan ini. MasyaAllah.

******

Halaman rumahnya yang luas lagi menghijau itu amat menenangkan. Mengasyikkan mata yang memandang. Apatah lagi apabila dia berada dalam suasana yang amat menyenangkan diri. Berbaring dengan bantalnya merupakan peha isteri.

“Awak.” Dia membuka bicara. Angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan tudung Husna berkibar lembut.

“Em?” Husna menundukkan kepala. Sambil tangan perempuan itu leka bermain dengan rambut Afam.

“Cinta Allah itu luaskan?”

Husna mengangguk.

“Kita memang tak boleh balas cinta Dia kan?”

Kini Husna menjadi kaku. Mata mereka berdua bertemu. Dan kekal begitu buat beberapa ketika.

“Betul. Buat apa pun, tak akan mampu kita membalasnya. Yang hanya kita mampu adalah berusaha menjadi hambaNya yang baik. Kenapa awak tiba-tiba timbulkan benda ni?”

Afam mengenjutkan bahunya. “Entah. Kebelakangan ini, terasa sungguh kasih Allah.”

“Seronoknya.” Husna bernada cemburu. “Saya pun tak pernah terfikir fasal balas cinta Allah tahu. Anak murid saya dah mengatasi saya ni.” Husna mencubit pipi Afam.

Afam tertawa. “Ala ustazah, janganlah cemburu-cemburu.” Tangan Afam menggapai pipi Husna dan mencubitnya juga, sambil wajahnya menghala ke perut Husna. “Baby, jangan ikut Ummi ok? Cemburu-cemburu tak baik.”

Husna tertawa dengan ulah Afam.

“Tapi saya macam buntu. Macam mana ya untuk saya tahu saya dah jadi hamba Allah yang baik?” Afam kembali membincangkan halnya. Dia macam merasakan, dia perlu buat sesuatu. Dia perlu menjadi lebih baik.

“Ha, saya tahu ciri-ciri hamba Allah yang baik, yang mudah untuk awak jadikan matlamat dalam mempertingkatkan diri. Setiap ciri-ciri itu jadi macam sasaran la untuk dipenuhi.”

“Iya? Bagitahulah pada saya. Awak jumpa kat mana?”

“Kalau nak jadi hamba Allah yang baik, mestilah Allah Yang Maha Tahu apa yang baik mengikut cita rasaNya. Tidak begitu? Jadi, kita kena rujuk balik apa yang Allah kata sebagai hambaNya yang baik.”

“Menarik la isteri saya ni. Boleh saya tahu apa ayatnya?”

“Saya baca. Kan ke kita duduk-duduk di halaman ni sebab nak tadabbur alam?”

“Oh, bukan saje-saje nak picnic ya?”

“Ini namanya picnic tarbawi Encik Amir Faheem.” Husna mencubit lagi pipi Afam. Afam tertawa. Macam-macam.

Husna mengeluarkan Al-Quran digital daripada saku bajunya. Dia mengklik beberapa kali, mencari surah yang dikehendaki, dan kemudian membaca.

“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila datang kepada mereka orang-orang yang jahil, mereka akan membalas dengan kata-kata yang baik.(63)Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri.(64)Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengertikan(65)Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk(66)Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.(67)Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya(68)Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan,(69)Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.(70) Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat(71)Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.(72)Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta.(73)Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.(74)Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,(75)Mereka kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal.(76)” Surah Al-Furqan ayat 63-75.

Dan air matanya perlahan-lahan meleleh.

Dia kena berusaha lebih keras, untuk menjadi hamba yang Allah SWT redhai.

“Awak, bantu saya pertingkatkan diri lagi ya?” Tangannya mencari tangan Husna, dan memautnya seerat mungkin.

Kelihatan isterinya mengangguk perlahan.

“Sebenarnya awak, perasaan yang awak sedang rasa ini, itupun adalah tanda cintaNya. Luas Cinta Dia itu tak ada sempadannya awak. Sebab itu bila disebut berkenaan nikmat Allah, kita takkan mampu menghitungnya. Yang terlihat juga takkan mampu kita kira, apatah lagi nikmat-nikmat yang halus dan tersembunyi macam perasaan, nikmat iman, nikmat Islam, nikmat kasih sayang, nikmat kegembiraan, nikmat kelapangan. Bahkan, kadangkala sakit itu juga nikmat, kemalangan juga nikmat, yang mana mungkin perkara-perkara itu menyedarkan kita akan kelemahan dan kekurangan kita, lantas membuatkan kita rasa nak pertingkatkan diri kita.” Husna berbicara lembut.

Dan bicara itu membuatkan Afam lebih tersentuh.

“Dan awak adalah salah satu tanda Allah cintakan saya.” Pipi Husna dicapai lagi. Perlahan-lahan direndahkan kepala isterinya itu, dikucup penuh cinta dahi perempuan itu.

“Alhamdulillah.”

Dan dia kini dapat merasakan ada titisan jatuh pada dahinya.
“Alhamdulillah.” Husna berbicara. Ada nada sebak.

“Saya gembira awak.” Afam berbicara perlahan. Sambil melepaskan pandangan ke seluruh halaman.

“Saya gembira juga.” Bicara Husna dalam sebak. Mungkin perempuan itu terimbas bagaimana seorang Amir Faheem bin Amir Muiz yang dikenali di awal-awal pertemuan mereka dahulu.

Cinta Allah itu luas. Kepada sesiapa yang mahu berfikir dan merendahkan jiwa untuk melihat.
Ibarat satu lagu yang indah tanpa henti.
Hingga penghujung hayat Cinta Allah itu bersama diri.
Simfoni teragung, bagi yang melihat dengan mata hati.




sumber insipirasi::langit iilahi
wassalam :)

No comments: